Isnin, 24 Disember 2012

Gingerbread Man Cookies

Sebelum ni perayaan Deepavali, esok pula Hari Natal. Bermakna seluruh Malaysia akan bercuti! Senangnya dalam hati (walaupun sebenarnya banyak kerja sedang menanti). Apa perancangan anda? Cuti-cuti Malaysia bersama insan tersayang? Atau sekadar duduk di rumah dan menghabiskan masa terluang di hadapan televisyen? Apa kata kita ambil sedikit semangat kawan-kawan yang merayakan Hari Natal pada esok hari dengan menyediakan satu hidangan yang boleh dianggap wajib bagi mereka di sebelah Barat sana iaitu 'Gingerbread Man Cookies'. 


Sebelum ini pun saya hanya biasa melihat dalam televisyen ataupun majalah tapi belum pernah mencubanya sendiri. Bentuk yang sangat comel membuatkan rasa berat hati untuk menjamahnya. Kalau biskut Hari Raya biasalah buat tapi biskut Encik Roti Halia ni tidak pernah pula mencubanya. Bila semak resepinya, nampak menarik kerana terdapat pelbagai campuran rempah ratus. Biskut savori rupanya walaupun ada gula ising dan gula manik sebagai hiasannya. Sedikit sejarah mengenai biskut ini, ia mula dicipta pada abad ke 16 di England, pada zaman pemerintahan Ratu Elizabeth I. Dan apa yang istimewanya biskut ini berbanding biskut lain, ia mempunyai banyak cerita yang difilemkan dan lagu yang dinyanyikan di negara Barat. Lihat, terkenalnya di kecil cilik ni walaupun kisahnya akan berakhir beberapa minit dalam perut manusia. :p


Gingerbread Man Cookies

Bahan-bahan:
3 1/4 cawan        Tepung serbaguna
3/4 sudu teh         Baking soda
3/4 cawan            Mentega
1/2 cawan            Gula perang
1 sudu besar       Serbuk halia
1 sudu besar       Serbuk kayu manis
1/2 sudu teh         Serbuk bunga cengkih
1/2 sudu teh         Serbuk buah pala
1/4 sudu teh         Serbuk lada hitam (halus)
1/2 sudu teh         Garam
1 biji                      Telur (saiz A)
1/2 cawan             Gula melaka


Bahan hiasan:

Kismis, Cip coklat



Gula ising:
1 biji                     Telur
1/2 sudu teh        Jus lemon
1 3/4 cawan        Gula ising


Proses memasak:
  1. Dalam satu mangkuk besar, gaulkan tepung, baking soda dan semua rempah ratus. Ketepikan.
  2. Dalam mesin pengadun elektrik, pukul mentega. Masukkan gula dan pukul sehingga kembang. Masukkan pula telur dan gula melaka yang telah dihancurkan.
  3. Masukkan adunan tepung tadi perlahan-lahan.
  4. Bahagikan adunan kepada tiga bahagian. Bungkus menggunakan plastik dan sejukkan selama satu jam ataupun semalaman.
  5. Sebelum mula menggelek adunan, rehatkan selama 5 atau 10 minit pada suhu bilik selepas dikeluarkan dari peti sejuk.
  6. Panaskan ketuhar pada suhu 350 darjah selsius.
  7. Gelekkan menggunakan penggelek setebal 1/8 inci. Letakkan adunan tadi atas dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas minyak yang ditaburkan tepung kemudian sejukkan antara 5 ke 10 minit (untuk memudahkan proses mencetak).
  8. Cetakkan adunan dengan pencetak berbentuk 'Gingerbread Man'.
  9. Letakkan samada dengan kismis ataupun cip coklat untuk mencorakkan badan biskut.
  10. Bakar selama 8 atau 10 minit. Hiaskan dengan gula ising.
  11. Untuk gula ising: Pukul telur dan jus lemon bersama, tambahkan gula sehingga pekat.

Ini adalah beberapa contoh gambar 'Gingerbread Man Cookies' untuk dijadikan sumber inspirasi anda.




















Selamat bercuti kepada seluruh warga dunia! 
Hohoho, selamat mencuba ya...! :D




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

say something here