Memaparkan catatan dengan label Ikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ikan. Papar semua catatan

Sabtu, 15 Disember 2012

Ikan Percik Thai


Amali 8: Set Masakan Thai

Menu terakhir bagi set masakan Thai ialah Ikan Percik Thai. Ikan yang digunakan ialah ikan siakap. Ikan siakap ataupun dikenali sebagai ikan kakap putih merupakan ikan air tawar dan air masin. Nama sainsnya ialah Lates calcarifer. Ikan siakap memiliki isi putih, berkeping dan mempunyai banyak lemak pada badannya. 

Ikan siakap laut dikatakan mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding ikan siakap air tawar. Di Thailand, ikan siakap dipanggil Pla Krapong. Ikan siakap adalah antara ikan yang popular digunakan dalam masakan Thai. Seperti menu ini, 'Ikan Percik Thai'.




Menu ikan percik Thai menggunakan kaedah memasak haba kering iaitu membakar. Ikan yang siap dilumurkan dengan bahan kisar akan dibalut dengan kerajang aluminium (aluminium foil) lalu dimasukkan ke dalam ketuhar. Amat mudah seperti petik jari. Tapi kena tunggu agak lama juga untuk ikan tu masak. Bergantung kepada saiz ikan tersebut.

Memandangkan proses penyediaan ikan percik Thai ni mudah, kerja kami menjadi cepat dan berjalan lancar seiring dengan perancangan yang telah dibuat sebelum masuk ke dalam kelas amali. Cuma terdapat satu masalah. Masalah tersebut ialah sos percik kekurangan santan yang kemudian mengakibatkan warnanya kurang menarik dan teksturnya sedikit cair.

Warna ikan percik Thai kami adalah seperti dalam gambar di bawah. Ada yang kata ikan tersebut tidak ada mirip ikan percik kerana warna agak kemerahan berbanding warna sos percik iaitu kekuningan. Selain itu, selepas ikan dibakar, sos percik menjadi sedikit pekat berbanding kumpulan lain yang agak cair dan mudah dijadikan sos pencecah.

Sekiranya santan dimasukkan lebih sedikit, warna dan teksturnya akan menjadi seperti sos percik yang kebiasaannya kita lihat. Namun, pensyarah memuji ikan percik Thai kami berbau harum. Mungkin disebabkan sebelum kami melumurkan sos percik ke seluruh bahagian ikan, kami telah menggosokkan badan ikan dengan hirisan limau nipis.

Terima kasih kepada rakan dari Unit 3 *nieza* yang memberikan cadangan tersebut yang bertujuan untuk menghilangkan bau hanyir pada ikan. Walaupun sibuk dengan menu sendiri, nieza sanggup meluangkan masa untuk berkongsi rahsia dan memberikan hirisan limau nipis yang telah beliau gunakan untuk digosokkan pada badan ikan kumpulan kami. Nieza, jasamu kami kenang! ^_^





*****************

Ikan Percik Thai
(porsi: 2 orang)

Bahan-bahan:

1 ekor                  Ikan siakap (saiz sederhana besar)
1 keping              Kerajang aluminium
4 helai                 Daun pisang
3 helai                 Daun pandan


Bahan-bahan sos percik:

500 ml                 Santan pekat
30 ml                   Jus limau
30 ml                   Sos ikan
175 gm               Cili merah
15 gm                 Cili padi
15 gm                 Halia
100 gm               Bawang merah
10 gm                 Bawang putih
10 gm                 Kunyit hidup
15 gm                 Daun limau purut
10 gm                 Buah keras
20 gm                 Serai
5 gm                   Garam dan gula


Alatan yang digunakan:

Ketuhar
Kuali
Mesin pengisar
Landas cincang
Pisau
Sudip
Mangkuk
Sudu


Proses memasak:

1. Kisarkan cili merah, cili padi, halia, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup, daun limau purut, buah keras, dan serai.
2. Panaskan sedikit minyak di dalam periuk dan tumis bahan yang telah dikisar.
3. Masukkan santan, masak dengan api perlahan sehingga pekat.
4. Masukkan sos ikan, jus limau, gula dan sedikit garam. Sesuaikan rasanya dan matikan api.
5. Perisakan ikan dengan garam serta lada sulah.
6. Letakkan kerajang aluminium di atas dulang pembakar, alas dengan daun pisang dan daun pandan.
7. Letakkan ikan di atasnya dan letakkan sos percik.
8. Bungkus ikan dan bakar pada suhu 180 darjah selsius (C) selama 20 minit atau lebih. (mengikut saiz ikan)
9. Setelah masak, angkat dan hidangkan.


Menghias dan Menghidang:

1. Hiaskan dengan hirisan limau nipis dan cili merah.
2. Hidangkan atas pinggan bujur.




Gosokkan badan ikan dengan hirisan limau 
untuk hilangkan bau hanyir! :D




Ahad, 2 Disember 2012

Ikan Masak Masam Manis


Amali 6: Set Masakan Cina





Masyarakat cina terkenal dengan jolokan masyarakat yang lebih mengutamakan kesihatan terutamanya dari segi pemakanan mereka. oleh sebab itu, mereka gemar menggunakan kaedah memasak mengukus dan merebus dalam hidangan sehari-harian mereka.

Pada kelas amali masakan timur baru-baru ini, temanya adalah 'Set Masakan Cina'. Semua menu yang disediakan adalah masakan cina. Terdapat dua jenis menu iaitu set satu dan set dua. 

Set satu terdiri daripada nasi putih, sweet and sour fish, solok tofu pok, stir fried vegetables, dan shark fin soup. Set dua pula terdiri daripada nasi putih, beef green pepper, pie tee, kubis gulung berinti dan crab meat and egg drop soup. Semuanya menyelerakan! Nyum nyum. :)

Setelah melalui undian, kumpulan kami telah mendapat menu set 1. Entri hari ini akan menceritakan dua menu iaitu nasi putih dan sweet and sour fish. Mari berkenalan dahulu dengan menu sweet and sour fish.





Menu sweet and sour fish menggunakan ikan dori sebagai bahan utamanya. Tapi ikan yang digunakan tidaklah seperti gambar di atas kerana ikan akan dipotong fillet.





Mungkin ada antara kita yang belum pernah melihat bagaimana rupa ikan dori yang sebenar, kan? Jujurnya, saya sendiri belum pernah melihatnya kerana kebiasaannya ikan dori yang digunakan sudah dibersihkan termasuklah dibuang kulit dan tulang (debone). Ia datang dalam packaging yang kemas seperti di bawah ne.




Menurut sumber wikipedia, Dori ataupun Dory (dorre, doree) terdiri daripada pelbagai jenis keluarga ikan yang berbeza-beza seperti the true dories (family Zeidae), the zeniontids (family Zenionidae), the australian dories (family Cyttidae), the oreos (family Oreosomatidae), the parazen (family Parazenidae), dan spinyfin (family Diretmidae). Walaupun terdiri daripada pelbagai keluarga ikan, ia mempunyai persamaan seperti bermata besar, berwarna keperakan (silvery), hidup di lautan dalam dan dianggap sebagai ikan yang sangat sedap.

Dori juga dapat dibezakan melalui warna, saiz badan, corak pada kulitnya dan tempat ia membiak. Di Asia Tenggara termasuklah Malaysia, ikan dori yang didapati dengan mudah adalah ikan dori dari spesis pangasius yang biasanya disebut cream dory. Pangasius merupakan salah satu spesis ikan keli ataupun 'catfish'. Jadi, anda sudah tahu serba sedikit mengenai ikan dori, kan? Jangan hanya tahu makan saja ya! :)







Di bawah ne pun salah satu spesis ikan dori. Bagi yang meminati kartun 'Finding Nemo', tentu anda sudah tahu yang kawan kepada nemo adalah seekor ikan dori yang bernama Dori. :)





~ Nemo and Dori ~


Baiklah, sesudah mengenali ikan dori, saya ingin bercerita pula mengenai pengalaman kami menyediakan resipi sweet and sour fish. Menu ini tidaklah sesukar mana pun. Mahu kata terlalu mudah pun tidaklah semudah itu kerana ia memerlukan beberapa proses. Proses pertama ialah menyediakan bahan-bahan memasak, kemudian menggoreng ikan dori yang disalut dengan bater penyalut dan akhir sekali, menyediakan kuahnya. Jom kita lihat resipinya.


Bahan-bahan:


1 fillet Ikan dori
1/2 biji Lada benggala merah (potong dadu)
1/2 biji Lada benggala hijau (potong dadu)
200 gm Nenas (potong dadu)
1 biji Tomato (potong dadu)
1/2 biji Lobak merah (potong dadu)
1 biji Bawang besar
2 ulas Bawang putih
40 ml Sos cili
150 ml Sos tomato
3 camb Gula pasir
25 ml Air
Garam dan lada sulah secukup rasa
Minyak untuk menggoreng ikan


Bahan untuk bater pencelup:

1 biji Telur
125 gm Tepung gandum
250 ml Air
25 gm Tepung jagung
Garam dan lada sulah secukup rasa


Cara membuatnya:


1. Sediakan bater pencelup. Celupkan isi ikan yang sudah dipotong jejari ke dalam bater pencelup. Goreng dalam minyak yang penuh dan panas sehingga garing kekuningan.
2. Tumiskan bawang putih sehingga naik bau, masukkan sos tomato, sos cili, sos tomato, air, gula dan perisakan dengan garam dan lada sulah secukupnya.
3. Masukkan lobak merah dan masak hingga empuk kemudian masukkan semua bahan yang dipotong dadu.
4. Kacau hingga rata kemudian tuangkan atas isi ikan tadi.


#Tuang kuah hanya apabila hendak menghidang untuk mengekalkan keranggupan ikan.#




~ Hasil tangan kami, sweet and sour fish! ~


Untuk menu nasi putih pula, senang sahaja. Masak nasi seperti yang biasa kita masak cuma hendak menambah aroma, letakkan daun pandan yang telah dibersihkan dan disimpul. 

Tetapi, kami tidak menggunakan periuk nasi elektrik, memasak dengan kaedah manual iaitu atas dapur gas. Bagi mereka yang tidak biasa, mari lihat bagaimana kami menyediakannya.


Bahan-bahan:

1 cawan Beras
1 1/2 cawan Air
1 helai Daun pandan


Cara membuatnya:

1. Cuci beras sehingga bersih dan toskan airnya.
2. Masukkan air dan daun pandan ke dalam periuk berisi beras.
3. Masak dengan api yang sederhana tanpa menutup periuk.
4. Setelah 8 hingga 10 minit ataupun air beras telah kering, tutupkan periuk.
5. Tunggu sehingga nasi benar-benar masak barulah tutup api. Periksa nasi dengan merasanya untuk mengelakkan nasi jelatah.


#Jelatah bermaksud mentah ataupun tidak masak.#



~ Nasi putih yang masak sempurna di atas dapur gas. ~
Senang, mudah dan sedap. Pastikan anda mencubanya sendiri di rumah. Untuk menu seterusnya, nantikan entri akan datang.





Kurangkan nasi, lebihkan lauk dan 
sayur untuk hidup yang lebih sihat! :D




Selasa, 6 November 2012

Ikan Kayu Masak Merah ala Mama Diana


 Apabila Oren bersahabat baik dengan Coklat,

MAKA,

Sahabat baik kepada Nasi Kuning adalah tidak lain tidak bukan, 
Ikan Kayu Masak Merah! :)


Kalau entri sebelum ini saya sudah kongsikan bagaimana membuat nasi kuning, kali ini saya mahu berkongsi pula bagaimana membuat ikan kayu masak merah versi mak saya.

Kalau bab masak memasak, memang para ibulah yang menjadi juaranya. Paling manang la kata orang sabah. Tiada tolak bandingnya. Jadi saya bermurah hati berkongsi bagaimana ibu saya membuat ikan tongkol masak merah.


Setiap hari isnin hingga jumaat, mak saya akan membuat nasi kuning dan ikan kayu masak merah ne. Dari seawal jam 6 pagi lagi mak saya sudah sibuk menyiapkan juadah ne untuk dijual kepada pelanggan tetap mak saya. Kalau berkelapangan, saya akan menolong mak saya. Tolong tengok dan tolong makan. :p

Cara mak saya buat tidak terlalu berbeza dengan orang lain cuma terdapat sedikit kelainan. Ingin tahu, mari lihat resipi dan cara membuatnya.


Bahan-bahan:

8-9 keping Ikan tongkol / kayu
4 biji Bawang putih
2cm Halia
2 sudu kecil Lada putih
2 sudu Tepung beras pulut
5-6 sudu Tepung gandum
2 batang serai - diketuk
minyak masak
1 sudu teh pati asam jawa
3/4 cawan air
garam dan gula secukupnya

Bahan kisar:

15 biji cili kering
5 biji bawang putih
7 biji bawang merah
1.5cm belacan (pilihan)


Caranya:

1. Tumbuk bawang putih dan halia sehingga lumat.
2. Lumurkan pada ikan kayu yang telah dibersihkan.
3. Letakkan sedikit garam dan lada putih untuk perisa.
4. Dalam satu mangkuk yang lain, campurkan tepung gandum dan tepung pulut.
5. Panaskan minyak.
6. Salutkan ikan tongkol dengan campuran tepung dan goreng sehingga garing.
7. Dalam kuali yang lain, panaskan sedikit minyak. 
8. Tumis semua bahan kisar sehingga timbul minyak.
9. Masukkan air, pati asam jawa dan serai.
10. Biarkan masak sehingga kuah memekat.
5. Masukkan garam dan gula secukupnya.
6. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

*Ikan dan kuah tidak akan disatukan seperti kebiasaannya untuk mengelakkan keranggupan pada salutan ikan musnah dek dibasahi oleh kuah.*

Siapa yang pernah mencuba nasi kuning dan ikan kayu masak merah yang mak saya buat, pasti menginginkannya lagi seperti saya yang telah menjadi peminat No. 1!

Rugi kalau tidak mencubanya sendiri...




'Air Tangan Ibu' are number 1 for me! :)