Selasa, 13 November 2012

Muruku

Happy Deepavali Everyone!




Kebetulan hari ini adalah Hari Deepavali, 13 November 2012. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Selamat Menyambut Pesta Cahaya". :D




Teringat dulu jiran sebelah rumah saya, sepasang suami isteri bersama dua orang anaknya yang berbangsa india (punjabi), Mr. & Mrs. Kaur. Mereka amat ramah dan baik hati. Saya masih ingat lagi bila mereka membuat rumah terbuka Deepavali, banyak makanan orang India yang sedap-sedap terhidang atas meja. Saya jadi rambang mata untuk merasa semua makanan. Sekarang, hampir 13 tahun lamanya kami berpisah. Seingat saya, mereka sekeluarga berpindah ke Seremban. Rindu mahu jumpa mereka terutama anak perempuannya, Shireen. Tentu sekarang ni Shireen sudah berumahtangga dan mempunyai anak-anak yang comel. Harap di mana pun mereka berada, mereka sentiasa gembira dan bahagia. :)

Sempena Deepavali ni, saya ingin berkongsi satu resipi makanan orang India yang tidak pernah jemu di makan oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia, tidak kira masa dan perayaan. Muruku!




Siapa yang tidak muruku, kan? Kudapan yang sangat sedap, ranggup dan terdapat dalam pelbagai jenis dan rasa.


Acuan muruku


Resipi hari ini adalah resipi muruku yang paling asas. Mari lihat bagaimana membuatnya.


Bahan-bahan:




350gm Tepung muruku
200gm Tepung beras
2 sudu besar Biji bijan
2 sudu besar Serbuk cili
2 sudu besar Serbuk kunyit
2 sudu besar Jemuju (caraway seeds)
2 sudu teh Garam
6 sudu besar Minyak masak
300ml Air suam atau secukupnya
Minyak (untuk menggoreng)
Acuan muruku


Cara membuatnya:


1. Satukan semua bahan sehingga menjadi adunan yang lembut.
2. Masukkan sedikit adunan ke dalam acuan muruku.
3. Panaskan minyak.
4. Goreng dengan minyak yang banyak (terendam) sehingga keperangan dan garing.
5. Angkat dan toskan di atas kertas minyak.
6. Kemudian biarkan sejuk dan simpan ke dalam bekas kedap udara.


Mudah, kan? Ayuh kita ke dapur dan buat muruku!




Semangat 1Malaysia! :D






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

say something here