Sabtu, 22 Disember 2012

Hidup Sihat Di Tempat Kerja: Khas Untuk Wanita

Berada di pejabat adalah perkara yang sukar untuk menjalani hidup yang sihat. Aktiviti yang padat membuatkan wanita yang bekerjaya lebih senang mengambil makanan segera. Ini belum lagi termasuk godaan snek yang dihidangkan oleh kawan sekerja. Tidak dinafikan niat kawan sekerja kita adalah baik tetapi perlu diingatkan agar bijak dalam membuat keputusan yang melibatkan kesihatan diri dalam satu jangka masa yang panjang. Dan ingat, masih belum terlambat untuk anda mengubah pola hidup yang lebih sihat. Berikut adalah beberapa tips yang berguna untuk kita bagi mengatasi masalah yang tidak sihat ini sewaktu berada di pejabat. 







#tips 1: Kurangkan Kekerapan Mengunyah Snek 

Sesiapa pun gemar mengunyah snek terutamanya biskut, kerepek dan apa sahaja makanan ringan yang lain kerana ia adalah satu kebiasaan sewaktu berada di tempat kerja. Walaupun snek memberikan tenaga tetapi ia juga menyimpan lemak yang tidak diperlukan. Kadar garam yang terkandung dalam makanan ringan juga dapat menyebabkan hipertensi. Sebaiknya jangan letakkan pelbagai jenis snek yang tidak berkhasiat dalam laci. Tukarkan snek tersebut kepada snek yang menyihatkan seperti buah-buahan, yogurt ataupun kekacang. Cara ini sekaligus membuatkan kita menolak dengan baik kawan yang mempelawa snek lain. 

#tips 2: Jangan Terlalu Banyak Minum Teh Ataupun Kopi 

Pengambilan teh ataupun kopi sebanyak dua jam sekali atau berlebihan adalah tidak elok. Ini kerana, ia akan membuatkan kita merasa gelisah, mudah marah, dehidrasi dan mengganggu pola tidur. Dalam erti kata lain, waktu tidur kita akan terganggu. Kita boleh atasinya dengan mengurangkan hidangan teh atau kopi setiap hari. Gantikan minuman ini dengan pilihan minuman lain yang lebih sihat seperti teh hijau, air limau nipis atau jus buah. Pilih minuman yang tidak mengandungi banyak gula atau susu. 

#tips 3: Banyakkan Minum Air Mineral 

Berusahalah untuk minum air putih ataupun mineral dalam jumlah yang banyak walaupun kita tahu kita akan sentiasa keluar masuk ke dalam bilik air. Namun jika kita kurang minum air mineral dalam jangka masa yang panjang, ia boleh menyebabkan sembelit, gangguan pencernaan, dehidrasi, meningkatkan rasa lapar dan kulit kelihatan kusam. Untuk membantu diri meminum air mineral, letakkan satu botol air mineral (1.5 liter) di atas meja dan pastikan minum habis sebelum pulang dari tempat kerja. Cara ini akan membuatkan kita tidak lupa untuk minum air mineral yang telah terhidang depan mata. 

#tips 4: Elak Makan Tengah Malam 

Apabila tamat waktu kerja, kawan kita selalu mengajak untuk makan di restoran. Ini akan membuatkan kita tidak makan lagi di rumah dan kebiasaannya kita akan rasa lapar semula pada waktu malam. Jangan terus mengalah, sebenarnya kita penat dan perlu berehat, bukannya mencari makanan. Jika kita betul-betul lapar, makanlah sayuran atau beberapa jenis makanan yang kaya dengan protein. Sayuran berserat tinggi dan daging tanpa lemak kaya dengan protein. Elakkan makan nasi atau roti sebelum tidur kerana proses penghadaman makanan berlaku dalam masa yang agak lama apatah lagi apabila kita sedang tidur. 

Jadi, amalkan gaya hidup sihat tidak kira di mana pun kita berada. Jangan jadikan ayat, “tidak mengapa, kali ini saja” sebagai alasan untuk mengambil snek yang tidak sihat kerana ayat tersebut akan diulang berkali-kali pada setiap hari lalu menjadikannya sebagai satu tabiat ataupun kebiasaan. Mulai saat ini, marilah mengubah kebiasaan tersebut. Tukarlah snek yang tidak berkhasiat kepada snek yang sihat. Anda mampu mengubahnya.




Bijak memilih makanan, anda sendiri yang merasakan hasilnya...! :D








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

say something here