Dari zaman sekolah rendah sehinggalah ke dewasa, tidak henti cerita mengenai kepentingan vitamin dan akan berterusan sehingga ke zaman keemasan kita. Mana tidaknya, kehadirannya amat diperlukan oleh kita. Jadi, ia amatlah penting untuk memastikan tubuh badan kita sentiasa sihat dan otak pun turut sama sihat dan cergas. Bagi mereka yang tidak endahkan kepentingannya selama ini, buang seketika sikap tu dan ambil sedikit masa untuk membaca entri ini. Penting! ^_^
Vitamin bermaksud bahan organik yang sangat diperlukan oleh badan dengan jumlah kecil. Ia berperanan dalam pertumbuhan normal, pengawalan kesihatan, dan pencegahan penyakit. Vitamin biasanya disebut sebagai mikronutrien. Ia membantu pertumbuhan proses protein, karbohidrat, dan lemak dalam badan anda. Sesetengah vitamin pula membantu tubuh menghasilkan sel-sel darah dan hormon. Biasanya, tubuh kita tidak dapat menghasilkan banyak mikronutrien. Oleh sebab itu, anda perlu mendapatkannya, sama ada daripada makanan atau suplimen (makanan tambahan seperti vitamin) yang lain. Meskipun kandungan vitamin tidak selengkap pengambilan makanan biasa, tapi bukan bererti suplimen vitamin tidak diambil.
Cuma, anda perlu faham bahawa vitamin bukan pengganti kepada makanan harian anda. Terutama, makanan yang kaya dengan nutrien. Jadi, bagaimana? Bagus bukan vitamin ini? Tapi, sekiranya anda masih takut untuk makan vitamin, tidak mengapa. Anda boleh menggantikannya dengan mengambil makanan atau minuman seperti susu atau buah-buahan. Ini kerana makanan tersebut membekalkan vitamin yang tinggi. Perkataan vitamin telah diusulkan oleh seorang pakar biokimia yang berbangsa Poland pada tahun 1912. Vita di dalam bahasa Latin bermaksud kehidupan dan mine - amine adalah adalah kata tambahan dari amine; kerana pada masa itu ramai yang menyangka bahawa semua vitamin adalah amine dan sekarang kesalahan ini telah pun disedari.
Nilai memakan makanan tertentu bagi mengekalkan kesihatan telah diketahui lama sebelum vitamin dikenal pasti. Orang-orang Mesir purba tahu bahawa memberi pesakit makan hati akan membantu merawat rabun malam, yang kini diketahui akibat kekurangan vitamin A. Pada 1747, pakar bedah Scotland, James Lind menyedari bahawa makanan sitrus membantu menghalang beri-beri (scurvy), penyakit yang mampu membawa maut di mana kolagen tidak terbentuk dengan sempurna, dan ciri-ciri yang muncul adalah luka lambat sembuh, pendarahan pada gusi, dan rasa sakit yang teruk. Pada 1753, Lind menerbitkan Treatise on the Scurvy. Hasil apa yang dijumpainya, bagaimanapun tidak diterima secara meluas. Semua orang digalakkan mengambil vitamin.
Lebih-lebih lagi, anda yang tidak lalu makan atau tidak mahu makan sayur, ikan, dan daging. Vitamin juga bagus untuk anda yang tidak suka minum susu atau apa sahaja jenis makanan yang bernutrien tinggi. Sekiranya anda amalkan cara pemakanan sebegini, lama-kelamaan badan akan kehilangan vitamin dan nutrien. Untuk mendapatkan nutrien yang hilang itu, anda perlu makan vitamin. Pengambilan vitamin akan membantu tubuh berfungsi secara normal. Berbeza pula sekiranya anda yang tidak mengambil vitamin. Kekurangan vitamin tertentu dalam tubuh akan mengakibatkan beberapa gejala penyakit. Misalnya, rabun (kurang vitamin A) dan anemia (penyakit yang disebabkan oleh kekurangan sel darah merah). Penyakit anemia ini adalah disebabkan kekurangan vitamin B12 atau zat besi.
Pasti anda (mungkin kanak-kanak atau orang yang sudah dewasa) rambang mata kalau pergi ke kedai runcit. Macam-macam kerepek, 'jajan', gula-gula ada dijual di kedai itu dan anda merasakan hendak membeli semua makanan ringan itu. Kalau keluar berjalan-jalan di pusat membeli-belah pula, pasti mata anda tertumpu pada kedai-kedai atau restoran makanan segera kan? Ditambah lagi dengan pelbagai hadiah mainan yang menarik, makin membuak-buak keinginan anda untuk memasuki kedai makanan segera itu. Tetapi anda tahu tidak kenapa makanan segera itu tidak elok kepada kesihatan badan? Terdapat beberapa kesan yang tidak elok sekiranya mengambil makanan segera terlalu kerap. Tahukah anda bahawa makanan segera merupakan punca kegemukan. Tidak percaya?
Dalam sebiji burger sahaja terdapat 35 peratus lemak. Itu tidak termasuk lagi dengan hidangan yang lain seperti ais krim, kentang goreng, ayam goreng, dan sebagainya. Memang lazat tetapi sanggupkah anda menderita sebelum tua akibat keseronokan yang sememangnya dapat dikecapi hanya seketika sahaja? Ketahanan badan menjadi lemah. Ini kerana terdapat banyak bahan kimia dimasukkan sekali dalam makanan sebagai perisa tambahan. Bukan itu sahaja, pewarna tiruan juga memberikan kesan kepada ketahanan badan manusia. Penambahan kolestrol dan kalori secara mendadak dalam badan. Macam mana itu? Anda hendak tahu? Dengan mengambil makanan ringan secara kerap dan banyak akan menyebabkan kolestrol dan kalori masuk ke dalam badan. Kalau anda sempat membaca kandungan bahan pada plastik pembungkus makanan segera, anda akan mengetahui jumlah kandungan kalorinya.
Setiap jenis makanan segera mempunyai kandungan minyak, lemak, dan karbohidrat yang tinggi. Kalau anda sudah tahu, pasti ramai yang akan kurangkan pengambilan makanan segera. Susah hendak dapatkan vitamin? Anda jangan risau sebab vitamin ada di rumah anda sendiri. Tidak percaya? Cuba anda pergi ke dapur. Di dapur ada banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Kalau anda hendak tahu, lobak, kubis, tomato, buah limau, epal, dan banyak lagi merupakan sumber vitamin. Setiap sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai kandungan vitamin. Boleh dikatakan hampir semua makanan mempunyai kandungan vitamin. Cuma yang membezakan adalah jenis-jenis vitaminnya.
i) Tomato - kaya dengan vitamin A, C, dan serat juga zat besi.
ii) Avokado - kaya dengan khasiat protein, kalsium, zat besi, vitamin A dan C.
iii) Pisang - vitamin A dan C, potasium dan zat besi.
iv) Nanas - vitamin A, B, dan C.
v) Telur, susu, hati - menyediakan vitamin A.
vi) Kekacang dan daging - sumber kepada vitamin B1.
vii) Keju, putih telur, dan yogurt - menyediakan vitamin B2.
viii) Ubi kentang, sardin, dan tuna - sumber untuk vitamin D.
ix) Sayuran berdaun hijau, kacang soya, dan gandum - kaya dengan vitamin E.
x) Kobis dan daun salad - penyumbang kepada vitamin K.
*****************
Vitamin A (Retinol)
Sumber utama: Minyak hati ikan, hati sapi, kuning telur, mentega, krim, sayuran berdaun hijau, serta sayuran dan buah berwarna kuning.
Manfaat utama: Penglihatan normal dan kesihatan kulit.
Akibat kekurangan: Rabun malam, penebalan kulit di sekeliling folikel rambut, pengeringan bahagian putih mata dan kornea.
Akibat kelebihan: Sakit kepala, pengelupasan kulit, pembesaran hati dan limfa, penebalan tulang dan sendi.
Keperluan harian dewasa: 900 mikrogram
Vitamin D
Sumber utama: Sebagai vitamin D2 (Elgokalsiferol): ragi dan susu. Sebagai vitamin D3 (Kolekalsiferol): minyak hati ikan, kuning telur, susu, dan sinar matahari (sinar ultraviolet).
Manfaat utama: Penyerapan kalsium dan fosfat dari usus mineralisasi, pertumbuhan dan perbaikan tulang.
Akibat kekurangan: Pertumbuhan dan perbaikan tulang yang abnormal, rakitis pada kanak-kanak, osteomalasia pada dewasa dan kejang otot.
Keperluan harian dewasa: 10 mikrogram
Vitamin E
Sumber utama: Minyak sayur, benih gandum, sayuran berdaun, kuning telur, dan marjerin.
Manfaat utama: Antioksidan.
Akibat kekurangan: pecahnya sel darah merah dan kerosakan saraf.
Akibat kelebihan: Meningkatnya keperluan pada vitamin K.
Keperluan harian dewasa: 10 mikrogram
Vitamin K
Sumber utama: Sayuran berdaun, hati, minyak sayur, dan dihasilkan oleh bakteri dalam usus.
Manfaat utama: Membantu pembekuan darah yang normal.
Akibat kekurangan: Pendarahan tanpa henti ataupun darah sukar membeku.
Keperluan harian dewasa: 65 mikrogram
Vitamin B1 (Thiamin)
Sumber utama: Ragi kering, gandum, daging (terutamanya hati), kekacang, dan kentang.
Manfaat utama: Meningkatkan metabolisme karbohidrat.
Akibat kekurangan: Beri-beri pada kanak-kanak dan dewasa, disertai kegagalan jantung dan fungsi saraf dan otak yang abnormal.
Keperluan harian dewasa: 1 ke 2 miligram
Vitamin B2 (Riboflavin)
Sumber utama: Susu, keju, hati, daging, telur, dan gandum.
Manfaat utama: Meningkatkan metabolisme karbohidrat dan kesihatan membran mukosa.
Akibat kekurangan: Bibir dan sekeliling mulut pecah-pecah dan bersisik, dermatitis.
Keperluan harian dewasa: 1 ke 5 miligram
Vitamin B3 (Niasin / Asid Nikotinik)
Sumber utama: Ragi kering, hati, daging, ikan, dan gandum.
Manfaat utama: Reaksi kimia di dalam sel dan meningkatkan metabolisme karbohidrat
Akibat kekurangan: Pellagra (dermatosis, peradangan pada lidah, fungsi usus dan otak yang abnormal).
Keperluan harian dewasa: 16 miligram
Vitamin B5 (Asid Pantothenik)
Sumber utama: Hati, ragi, dan sayuran.
Manfaat utama: Meningkatkan metabolisme karbohidrat dan lemak.
Akibat kekurangan: Penyakit saraf, kaki terbakar.
Keperluan harian dewasa: 6 miligram
Vitamin B6 (pyridoxine)
Sumber utama: Ragi kering, hati, daging, gandum, dan ikan.
Manfaat utama: Meningkatkan metabolisme asid amino dan asid lemak, fungsi sistem saraf, dan kesihatan kulit.
Akibat kekurangan: kekejangan pada bayi, anemia, kelainan saraf dan kulit.
Keperluan harian dewasa: 2 miligram
Vitamin B7 (Biotin)
Sumber utama: Hati, ginjal, kuning telur, ragi, dan kekacang.
Manfaat utama: Meningkatkan metabolisme karbohidrat dan asid lemak.
Akibat kekurangan: Keradangan pada kulit dan bibir.
Keperluan harian dewasa: 60 mikrogram
Vitamin B9 (Asid Folik)
Sumber utama: Sayuran berdaun hijau yang masih segar, buah-buahan, hati, ragi kering
Manfaat utama: Kematangan sel darah merah, sintesa DNA & RNA.
Akibat kekurangan: Berkurangnya jumlah semua jenis sel darah (pansitopenia), sel darah merah yang berukuran besar (terutama pada wanita hamil, bayi dan penderita malabsorpsi).
Keperluan harian dewasa: 200 mikrogram
Vitamin B12 (Cobalamin)
Sumber utama: Hati, daging (terutamanya lembu), telur, susu dan produk tenusu
Manfaat utama: Kematangan sel darah merah, fungsi saraf dan sintesis RNA.
Akibat kekurangan: Anemia pernisiosa dan anemia lainnya (pada vegetarian yang menderita cacing pita ikan), beberapa kelainan psikik, dan gangguan penglihatan.
Keperluan harian dewasa: 2 mikrogram
Vitamin C
Sumber utama: Limau, tomata, kentang, kobis, dan lada hijau.
Manfaat utama: Antioksidan.
Akibat kekurangan: Scurvy (perdarahan, kerosakkan gigi, peradangan gusi).
Keperluan harian dewasa: 60 miligram
Selain makanan sebenar, makanan tambahan ataupun suplimen boleh diambil bagi menggantikan vitamin yang sebenar. Ia bertujuan agar badan kita dapat menikmati faedah vitamin yang menyerupai vitamin sebenar. Selain itu, kita juga dapat menjimatkan masa dalam penyediaan makanan walaupun perlu korbankan sedikit wang ringgit kita tetapi berbaloi kerana ia adalah demi kesihatan diri sendiri ataupun insan yang disayangi.
Sumber: http://www.medicastore.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
say something here