Jumaat, 14 Disember 2012

Ayam Masak Beriani


Amali 7: Set Masakan India




Inilah ayam masak beriani kumpulan kami. Maaf dipinta atas ketidakjelasan gambar di atas. Maklumlah, kelam kabut sehingga terlupa ambil gambar setelah siap dimasak. Bila sudah dihidang barulah teringat untuk mengambil gambar persendirian. :)

Oleh kerana ini adalah pengalaman pertama kami, maka banyak perkara yang ditegur untuk penambahbaikan dan diperbaiki pada masa akan datang. Penyediaannya tidaklah serumit yang disangkakan namun teknik yang betul mempengaruhi rasa, warna dan tekstur resipi ini.

Rempah perlu dimasak pada kadar masa yang betul agar ia lebih meresap pada ayam dan memberi rasa yang lebih sedap berbanding dengan rempah yang tidak dimasak sepenuhnya. Antara rempah yang digunakan ialah rempah beriani, buah pelaga, kayu manis dan bunga cengkih, sama seperti nasi briyani.

Sebelum dimasak, ayam perlu diperap selama 60 minit agar bahan perap meresap pada daging ayam. Antara bahan yang dijadikan bahan perap ialah tairu. Tairu adalah campuran susu cair dan perahan jus limau ataupun lemon. Tairu juga merupakan bahan yang penting dan sering digunakan dalam masakan India.





Masalah yang kami timbulkan ketika menyediakan ayam masak beriani ialah masak terlalu lama sehingga isi ayam hampir tercabut daripada tulangnya. ;p

Walaupun demikian, komen pensyarah pada sesi penilaian tidaklah terlalu tegas dan mengatakan hidangan kami hanya perlu ditambahkan bahan rempah kerana warnanya kurang gelap dan pekatkan kuahnya kerana terlalu cair.

Memandangkan kumpulan lain dapat menyediakan hidangan ini dengan jayanya, ia bermaksud kami kekurangan pengalaman. Jadi, resipi berikut selamat untuk diaplikasikan di dalam dapur kerana ia menjadi malahan sedap! :)



*****************

Ayam Masak Beriani
(porsi: 5-6 orang)

Bahan-bahan:

800 gm               Paha ayam
140 gm               Tomato
15 gm                  Rempah beriani
30 gm                  Daun ketumbar
30 gm                  Daun pudina
45 gm                  Minyak sapi

15 gm                  Tomato puri
10 gm                  Badam
10 gm                  Biji gajus 
10 gm                  Bawang goreng
Secukupnya        Air dan garam


Bahan perap:

15 gm                  Halia
20 gm                  Bawang putih
25 gm                  Cili merah
3 gm                    Serbuk lada hitam
75 gm                  Tairu


Bahan tumis:

30 gm                  Bawang besar
7 gm                    Kayu manis
2 biji                     Buah pelaga
2 kuntum              Bunga cengkih 



Alatan yang digunakan:

Kuali
Sudip kayu
Landas cincang
Pisau


Prosedur memasak: 


1. Bersihkan ayam terlebih dahulu, kemudian perap ayam dengan bahan perap yang telah dikisar selama satu jam.
2. Setelah satu jam ayam diperap, panaskan kuali dan cairkan minyak sapi kemudian tumis bahan tumis dengan menumis kayu manis, buah pelaga dan bunga cengkih terlebih dahulu. Setelah naik bau baru masukkan hirisan bawang besar dan tumis sehingga layu dan sedikit garing dengan menggunakan api yang perlahan.
3. Kemudian masukkan tomato puri dan rempah beriani dan kacau sehingga sebati dan biarkan sehingga sedikit garing.
4. Masukkan ayam, tomato, daun ketumbar, daun pudina dan sedikit air supaya ianya tidak hangit dan mempercepat proses memasak ayam.
5. Kecilkan api, masukkan badam, gajus, tairu dan bawang goreng. Masak sehingga pekat dan sesuaikan rasanya.


Menghias dan menghidang:
1. Ayam masak beriani dihidangkan atas pinggan stainless steel.






Pastikan rempah dimasak sempurna! :D




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

say something here