Amali 8: Set Masakan Thai
Kelas masak memasak diteruskan lagi. Selesai menyediakan kerabu, kita beralih pula ke hidangan yang seterusnya iaitu Asparagus Daging Hitam. Hidangan ini amatlah berkhasiat kerana sayur asparagus kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, natrium, kalium, vitamin A dan C, dan niasin! Asparagus tumbuh dengan subur di negara Mediterranean, Eropah, utara Afrika, dan barat Asia. Di Malaysia, ia ditanam di kawasan tanah tinggi seperti Cameroon Highland dan Kundasang.
Akan tetapi, disebabkan faktor tempat, asparagus tidak dapat digunakan dan digantikan dengan kacang buncis yang seakan-akan asparagus. Patutnya hidangan ini ditukar nama kepada kacang buncis daging hitam! :p
Walaupun ketiadaan encik asparagus, hidangan ini tetap mampu disediakan dengan sedapnya. Permasalahan besar tidak timbul tetapi sedikit penambahbaikan perlu dilakukan iaitu daging yang digoreng perlulah dibalik-balikkan selalu untuk mengelakkan daging hangus dan keras seperti yang telah kami lakukan.
Ketika memasak api perlu diperhatikan agar tidak terlalu besar dan kecil tetapi sederhana sahaja kerana dikhuatiri daging bertambah keras dan hangit. Terdapat beberapa petua untuk melembutkan daging antaranya ialah rebus dahulu dan sewaktu rebus letakkan sudu, dan potong nipis-nipis. Macam-macam pulak kan.
Apa yang pasti, daging kami memang liat dan sedikit payah untuk dipotong. Kalau ada petua lain, bolehlah kongsikan. :)
Apabila tiba waktu penilaian, sudah tentulah semua yang merasa akan kata daging tu liat. Sedangkan kami ahli kumpulan pun merasa liat, agak mustahil mendapat komen yang bertentangan, kan. Namun, persembahannya mendapat pujian dan agak bangga sedikit. Sedikit ja! :D
*****************
Asparagus Daging Hitam
(porsi: 2 orang)
Bahan-bahan:
300 gm Asparagus
300 gm Daging batang pinang
15 gm Bawang putih
10 gm Serbuk lada hitam
30 gm Kicap manis
15 gm Air halia muda
45 gm Sos tiram
20 gm Tepung jagung
10 gm Gula dan garam
10 gm Bijan goreng
20 gm Lobak merah
1 gm Daun ketumbar
30 ml Minyak
Alatan yang digunakan:
Kuali
Periuk
Mangkuk
Landas cincang
Pisau
Sudu
Sudip kayu
Proses memasak:
1. Gaulkan daging bersama-sama bahan pemerap (bawang putih, serbuk lada hitam, kicap manis, air halia muda, sos tiram, tepung jagung, gula dan garam) di dalam mangkuk. Biarkan selama 1 jam.
2. Didihkan air, celup asparagus dan masukkan dalam mangkuk berisi ais untuk menghentikan proses memasak.
3. Panaskan minyak, goreng setiap kepingan daging dan balik-balikkan.
4. Susun asparagus dalam pinggan. Letakkan daging di atas dan taburkan bijan goreng.
Menghias dan Menghidang:
1. Hiaskan hidangan dengan daun ketumbar, cili, lobak merah dan bijan goreng.
2. Hidang dalam pinggan bulat.
Gunakan daging batang pinang,
tidak perlu letakkan sudu untuk
melembutkan daging! :D
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
say something here