Isnin, 17 Disember 2012

Bater

Dalam dunia masakan, perkataan bater sering digunakan terutamanya dalam bahagian bakeri. Ketika kelas teori VEF3056, topik ini dijelaskan dengan terang agar kami memahami dengan lebih baik apa yang dimaksudkan dengan bater dan dapat mengaplikasikannya di dalam kelas amali masakan samada semasa belajar ataupun di sekolah suatu hari nanti. Mari kita kenali apa yang dimaksudkan dengan 'bater'.





*****************

Bater

Bater bermaksud campuran tepung dan cecair yang diadun untuk menghasilkan adunan yang licin dan berkrim. Terdapat dua jenis bater iaitu bater cair dan bater pekat. telur yang dimasukkan ke dalam adunan bater bertujuan untuk menyedapkan rasa dan memberi khasiat.


*****************

Fungsi Bater

Terdapat beberapa fungsi bater. Antaranya ialah:
  • Menghalang kehilangan zat makanan apabila menggunakan kaedah memasak menggoreng minyak penuh. Ia kerana minyak panas yang mengenai permukaan makanan akan memasuki keseluruhan makanan seterusnya menghilangkan zat yang ada pada makanan tersebut.
  • Mengelakkan makanan menjadi hancur dan diserapi minyak. Apabila memasak suatu makanan seperti ikan, ayam dan pisang, ia memerlukan salutan tepung iaitu bater untuk melindunginya daripada hancur dan terserap minyak semasa menggoreng dalam minyak penuh. 
  • Melindungi makanan daripada haba api yang panas.
  • Menyedapkan rasa dengan memberi lebih keranggupan. Bater bukan sahaja berfungsi melindungi tetapi juga menambah rasa kepada bahan makanan yang disalutinya.

*****************

Ciri Bater

Bater yang baik adalah bater yang dapat menghasilkan kuih yang nipis, ringan, licin, rata, menyelerakan dan berkhasiat. Sekiranya bater yang dihasilkan tidak menepati syarat yang betul, makanan yang dihasilkan akan menjadi kurang sedap, tidak menarik, menyerap minyak dan bergentel-gentel.Selepas semua bahan dicampur, bater perlu direhatkan sebelum dimasak agar bijian kanji kembang dan menjadi lembut serta makanan akan menjadi cepat masak berbanding bater yang tidak direhatkan. Bater tersebut akan menjadi kurang menarik, cepat menyerap minyak, tidak kembang dengan baik dan lambat masak. Bijian kanji ataupun gluten adalah protein yang terdapat dalam makanan.


*****************

Langkah Penyediaan Bater

Berikut merupakan langkah-langkah yang perlu dituruti ketika menyediakan bater.
  1. Mengayak bahan-bahan kering dalam mangkuk adun.
  2. Buat lubang di tengah dan masukkan telur.
  3. Memasukkan 1/2 bahagian cecair ke dalam tepung dahulu untuk mengelakkan adunan bergentel.
  4. Memukul atau mengenjut bater secara konsisten untuk memuatkan udara yang banyak agar bater lebih ringan. Guna senduk kayu untuk hasil yang lebih baik.
  5. Membiarkan atau merehatkan bater dengan menutup adunan selama 1/2 jam untuk melembutkan bijian kanji.
  6. Membakar atau menggoreng bater dengan suhu yang betul bagi menentukan kerangupan bater.
  7. suhu rendah menyebabkan makanan berminyak dan lembik.
  8. Bater penyadur biasanya tidak mengandungi telur.
  9. Bater puding atau penkek mengandungi telur yang membolehkan ia memegang udara yang dipukul yang boleh menaikkan adunan tanpa menambah bahan penaik.
  10. Mengukur bater adunan perlu 2/3 bahagian acuan dan ditutup dengan kertas minyak atau kerajang aluminium.

*****************

Bater Pekat

Bater pekat ataupun lebih dikenali sebagai bater penyadur / bater sadur merupakan bater yang mempunyai konsistensi yang pekat dan berkrim. Ia digunakan untuk menyadur makanan seperti pisang, ubi, dan ikan. Bater pekat sukar untuk dituang ke atas kuali kerana tekstrunya agak liat dan pekat. Antara hasil makanan daripada bater pekat ialah cucur udang, kuih rengas dan skon titis. Skon titis ialah kuih versi dorayaki jepun. Tentu anda pernah melihat animasi Doraemon? Kuih yang digemari oleh Doraemon ialah skon titis ataupun dorayaki.


Resipi asas bater pekat:

100 gm               Tepung
125 ml                Cecair
1 biji                    Telur
1/4 sudu teh       Garam



*****************

Bater cair

Bater cair lebih dikenali sebagai bater pankek ataupun lempeng. Bater cair mempunyai konsistensi yang berkrim dan cair. ia juga boleh merebak dengan cepat atas kuali sebagai lapisan yang nipis. Antara hasil makanan daripada bater cair ialah kuih kosui, kuih ketayap, kuih lapis dan kuih lompang. Kebiasaannya, hasil makanan daripada bater cair menggunakan kaedah memasak mengukus dan menggoreng tohor kerana ia sangat ringan dan mempunyai sukatan air yang banyak berbanding bater pekat. Sekiranya bater cair menggunakan kaedah memasak menggoreng minyak penuh, hasil keseluruhan bahan akan hancur dan berminyak.


Resipi asas bater pekat:

100 gm               Tepung
250 ml                Cecair
1 biji                    Telur
1/4 sudu teh       Garam




"Bater yang baik adalah bater yang mampu 
melindungi makanan daripada hancur 
dan memberi rasa yang sedap."





Bater Pekat: Skon Titis / Dorayaki





Bater Cair: Pankek




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

say something here